Teknik 6
Kurangkan Tekanan Perasaan
Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan?
Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun
ini akan berakhir tidak lama lagi?
Merasa
gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini
boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya
mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada
sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat
secara mental dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi
peperiksaan.
Soalan saya, apakah kesan tekanan menghadapi peperiksaan ini ? Maksud saya, apakah kesan-kesan yang anda boleh lihat akibat tekanan perasaan?
Tuliskan
10 jawapan anda di atas kertas. Saya beri masa 3 minit untuk anda
menulis kesan-kesan tekanan perasaan itu………… (3 minit dari
sekarang……………..)
(……..anda
sudah tulis….? Jangan sambung baca selagi anda belum tulis…. nanti anda
tidak dapat faham apa yang saya ingin sampaikan dalam mesej ini.)
Baiklah.
Apa yang ada dalam senarai anda? Antara kesan-kesan yang biasa pelajar
tulis ialah pening kepala, tumbuh jerawat, cepat marah, hilang mood,
hilang selera makan,(bertambah selera makan pun ada ), sakit perut,
sakit hati, hilang tumpuan, rasa nak pengsan, benci tengok kawan, benci
tengok muka guru, benci tengok muka sendiri, dan macam-macam lagi
perkara yang negatif. Ada tak contoh-contoh ini dalam senarai anda?
Baiklah.
Satu lagi soalan saya, dalam senarai anda, ada tak kesan yang positif
atau kesan yang baik? Hmm…. selalunya, saya tidak pernah tengok pelajar
tulis kesan yang baik bila ditanya tentang kesan tekanan perasaan.
Padahal, memang ada kesan yang baik.
Apakah
kesan baik tentang tekanan perasaan? Saya akan bagi ‘pembayang’. Kesan
positif tekanan perasaan ada kaitan dengan orang yang membuat senaman
angkat berat. Apa agaknya ya? Fikirkan…….
Dapatkah
anda meneka apakah kesan baik tekanan perasaan kepada kita? Baiklah,
saya akan terangkan dulu apa kesan membuat latihan angkat berat.
Katakan
Ali berlatih angkat berat dan dia mengangkat besi seberat 20 kg beberapa
kali hingga dia tidak mampu mengangkatnya. Besi yang berat ini memberi
tekanan kepada otot-otot tangan Ali. Keesokan harinya, tangan Ali akan
terasa sakit. Ini disebabkan otot-otot pada tangan Ali telah rosak
disebabkan tekanan tadi.
Satu
perkara yang hebat mengenai manusia ciptaan Allah, jika otot-otot kita
rosak disebabkan tekanan benda berat tadi, ia akan digantikan dengan
yang BARU, LEBIH BESAR dan LEBIH KUAT.
Ini
bermakna, apabila Ali sudah hilang rasa sakit, kekuatan tangannya akan
bertambah. Sebab itulah sebenarnya jika mula-mula kita angkat beg
sekolah kita rasa berat, tapi lama kelamaan kita rasa biasa sahaja. Ini
kerana kekuatan kita telah bertambah.
Begitu
juga dengan tekanan perasaan. Tekanan perasaan membuat kita pening
kepala, sakit perut, rasa nak muntah dan sebagainya. Tetapi kalau kita
sabar, hadapi tekanan itu dengan rasa yakin bahawa ia akan membuat kita
lebih hebat, insyaallah kita akan jadi lebih matang dan bijak. Kita buat
soalan matematik contohnya dan rasa pening, jika kita sabar dan hadapi
tekanan itu dengan tenang, kita akan rasa bahawa soalan matematik tidak
lagi memberi tekanan perasaan kepada kita. Ia seolah-olah kita sudah
menjadi semakin kuat.
Firman Allah dalam Al-Quran, surah Al-Insyirah: Ayat 5-8,
“Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Kemudian apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan),
maka bersusah payahlah (mengerjakan yang lain). Dan kepada Tuhanmu
sahaja hendaklah engkau bermohon.”
Sabda Rasulullah S.A.W., “...dan ketahuilah bahawa kemenangan itu akan terhasil sesudah kesabaran, dan kelapangan itu akan muncul sesudah kesusahan. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu sentiasa akan timbul kesenangan.” (Riwayat Ibnu Abbas)
Firman
Allah dan sabda Rasulullah ini sahaja sudah cukup untuk memberi kita
ketenangan kerana sudah ada jaminan bahawa setiap kesukaran dan
kesulitan yang kita lalui pasti akan diberi ganjaran lain dalam bentuk
kesenangan dan kemudahan.
Jadi,
sebagai langkah permulaan, ingat satu perkara ini. Jika anda rasa
tertekan, percaya bahawa apabila anda susah melaluinya anda akan jadi
lebih bijak dan matang dan anda akan lebih mempunyai peluang untuk
berjaya di dalam pelajaran atau dalam hidup.
Kaedah-keadah mengurangkan tekanan perasaan
Setelah
kita tahu bahawa tekanan perasaan sebenarnya membawa kebaikan kepada
kita jika kita dapat mengawalnya dengan baik, kita akan rasa lebih
tenang. Anda akan rasa tenang kerana anda tahu, tekanan perasaan itu
akan berakhir dan apabila ia berakhir, anda akan jadi lebih bijak dan
matang.
Saya ingin kongsikan satu teknik lain untuk mengurangkan tekanan perasaan. Teknik ini saya namakan mencari ‘masa aktif’.
Salah
satu sebab anda merasa tertekan ialah kerana anda penat. Apabila anda
penat, anda tidak boleh menumpukan perhatian kepada apa yang anda
belajar. Apabila anda tidak boleh menumpukan perhatian, anda tidak
faham. Apabila anda tidak faham, anda rasa…. TERTEKAN!
Mencari
masa aktif bermaksud, anda perlu mengenal pasti pada waktu bila kah anda
paling aktif? Maksud saya, dalam sehari, pada waktu mana fikiran anda
paling cergas? Ada pelajar yang cergas di waktu pagi dan ada pelajar
yang cergas di waktu malam dan ada di waktu petang. Jika anda belajar
sewaktu minda anda cergas dan tubuh badan anda rasa segar, anda lebih
mudah faham apa yang anda pelajari. Disebabkan anda sedang cergas, anda
juga tidak akan mudah rasa tertekan. Jadi, kenal pasti waktu mana yang
sesuai untuk anda belajar. Kenal pasti, bilakah ‘masa aktif’ anda itu.
Ada satu
peringatan. Jika masa aktif anda adalah pada waktu malam, anda perlu
berhati-hati supaya jangan membuat aktiviti yang terlalu berat pada
waktu siang. Aktiviti berat seperti bermain bola selama 2 jam di waktu
petang hingga anda hilang semua tenaga simpanan yang perlu digunakan
pada waktu malam. Sama juga jika masa aktif anda ialah pada waktu pagi.
Jangan tidur terlalu lewat jika anda suka belajar pada waktu pagi. Ini
akan mengganggu masa aktif anda itu.
Pernahkah
anda merasa begitu tertekan hingga tidak boleh tidur dan tidak boleh
makan? Ingat semula pengalaman itu. Cuba ingat, bagaimana cara anda
berdiri, bagaimana cara anda duduk dan bagaimana memek muka anda ketika
anda merasa tertekan? Ingat?
Bagus.
Jika anda hendak tahu, anda boleh mengurangkan rasa tekanan dengan hanya
mengubah cara anda berdiri, duduk dan juga menukar memek muka anda.
Sekarang, jika anda rasa tertekan, cuba berdiri tegak. Tarik nafas
dalam-dalam. Tinggikan kedudukan dada anda seolah-olah anda baru menang
satu anugerah dan anda merasa sangat bangga. Senyum. Senyum sampai
nampak semua gigi anda. Apa yang anda rasa sekarang? Lebih baik kan? Ini
adalah teknik ‘Fisiologi’ untuk mengurangkan tekanan perasaan.
Teknik
ini adalah mudah. Ia mengatakan bahawa anda boleh mengubah apa yang anda
rasa dengan hanya mengubah cara pergerakan tubuh badan anda. Mari kita
cuba sekali lagi. Katakan anda hendak pergi ke meja anda untuk belajar.
Buku-buku anda telah siap tersedia di atas meja. Cuba jalan
perlahan-lahan dengan muka yang ‘monyok’ (boleh guna ke perkataan ni )
Kalau tak faham monyok, buat muka ketika anda sangat kecewa. Jalan
dengan langkah yang berat seolah-olah ada rantai di kaki anda dan anda
tidak larat nak berjalan dengan tegak.
Apa yang
anda rasa? Berat dan malas kan? Untuk mengatasinya, buat perkara
sebaliknya. Berjalan dengan gagah dan buat muka riang gembira macam anda
baru menang hadiah cabutan bertuah. Apa anda rasa? Bukan sahaja anda
akan rasa lebih cergas, anda juga akan kurang merasa kesan tekanan
perasaan yang melanda.
Jadi, ubah pergerakan anda dan ubah memek muka anda untuk mengurangkan tekanan perasaan yang anda rasa.
Mutiara Kata
Manusia
amat memerlukan tekanan untuk dia lebih cerdas, cergas dan cemerlang.
Untuk dia dilihat sebagai memiliki keunikan-keunikan yang mengatasi
orang lain. Sebagaimana air dari kepala paip, jika tak kuat tekanannya,
lemahlah air yang mengalir, jika kuat tekanannya terpancutlah dengan
derasnya. ~Dr. HM Tuah, ‘Nak ke Tak Nak’~
Seperti
yang telah kita bincangkan tadi, tekanan boleh membawa kesan positif
kepada hidup kita dengan syarat kita sabar dan hadapinya dengan tenang.
Dr. Tuah ada menerangkan konsep ini dengan menarik melalui buku beliau
Nak ke Tak Nak. Adalah satu idea yang bagus jika anda mendapatkan buku
ini.
Satu lagi
kaedah yang ingin saya kongsikan disini ialah teknik pernafasan. Ada
pelbagai jenis teknik pernafasan yang ada tetapi saya ingin kongsikan
satu teknik pernafasan yang diajarkan oleh Lisa Curtis, seorang pakar
Sophrology di Amerika Syarikat (jangan risau jika anda tidak tahu apa
maksud sophrology). Ini adalah teknik pernafasan beliau untuk
menghilangkan tekanan perasaan.
Mula-mula
berdiri. Jarakkan kaki anda lebih kurang selebar bahu anda. Tarik nafas
melalui hidung anda dan bayangkan yang anda sedang menyedut udara dari
ibu jari kaki anda dan ia memenuhi sebiji belon besar di dalam perut
anda. Lakukan proses ini selama 8 saat. (tarik nafas selama 8 saat
perlahan-lahan).
Kekalkan belon besar itu di dalam perut anda selama 4 saat.
Kemudian, kempiskan belon itu perlahan-lahan selam 8 saat.
Kemudian biarkan belon itu kosong selama 4 saat. Tenangkan fikiran anda. Jangan fikirkan apa-apa.
Kemudian
ulang semula proses ini dari awal 4 - kali. Insyaallah anda akan rasa
lebih tenang dan kadar tekanan perasaan itu akan menurun.
Selamat mencuba.
|