بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.
Sembahyang
fardhu lima waktu adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang
lima. Orang yang meninggalkan sembahyang maka telah robohlah satu
daripada rukun Islam daripada dirinya. Sembahyang fardhu itu
sebaik-baiknya hendaklah dikerjakan dengan berjamaah. Bagi mereka yang
mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjamaah mendapat kelebihan yang
amat besar.
Di antara kelebihan-kelebihan mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjamaah ialah:
Pertama.
Sesiapa
yang dapat bersama imam pada takbir pertama selama 40 hari dia terlepas
daripada api neraka dan dari menjadi orang munafik
Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ
صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِى جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ
التَّكْبِيرَةَ الأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنَ
النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ. قَالَ أَبُو عِيسـَى وَقَدْ رُوِىَ
هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ أَنَسٍ مَوْقُوفًا وَلاَ أَعْلَمُ أَحَدًا رَفَعَهُ
إِلاَّ مَا رَوَى سَلْمُ بْنُ قُتَيْبَةَ عَنْ طُعْمَةَ بْنِ عَمْرٍو عَنْ
حَبِيبِ بْنِ أَبِى ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ. (سنن الترمذى، الصلاة)
Bermaksud: Sesiapa
yang sembahyang kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan
mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan,
pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.
Dalam
hadis ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa orang yang dapat
berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama hingga akhir sembahyang
selama 40 hari dilakukan semata-mata kerana Allah dia terselamat
daripada dua perkara iaitu terselamat daripada neraka dan terselamat
daripada menjadi munafik. Dengan itu marilah kita berusaha untuk
mendapatkan kelebihan ini.
Kedua.
Banyak langkah menuju ke masjid untuk berjama`ah menghapuskan dosa dan meninggikan darjat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
أَلاَ
أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ
الدَّرَجَاتِ. قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ «إِسْبَاغُ
الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ
وَانْتِظَارُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ فَذَلِكُمُ الرِّبَاط». (صحيح
مسلم، الطهارة)
Bermaksud: Tidakkah
aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat
darjat? Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah”, sabda Baginda:
“Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu sembahyang selepas satu
sembahyang. Itu adalah ikatan”.
Hadis
ini menunjukkan kepada kelebihan banyak langkah ke masjid dan kelebihan
menunggu satu sembahyang setelah menunaikan satu sembahyang, dan sekali
gus menunjukkan kelebihan sembahyang berjemaah. Dalam nas yang lain
Baginda menegah sahabat yang hendak berpindah ketempat yang berhampiran
dengan masjid dengan meninggalkan tempat kediaman yang lama.
عَنْ
جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ خَلَتِ الْبِقَاعُ حَوْلَ الْمَسْجِدِ
فَأَرَادَ بَنُو سَلِمَةَ أَنْ يَنْتَقِلُوا إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ
فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ لَهُمْ
«إِنَّهُ بَلَغَنِى أَنَّكُمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَنْتَقِلُوا قُرْبَ
الْمَسْجِدِ». قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ أَرَدْنَا ذَلِكَ.
فَقَالَ «يَا بَنِى سَلِمَةَ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ دِيَارَكُمْ
تُكْتَبْ آثَارُكُمْ». (صحيح البخارى، المساجد)
Bermaksud: Daripada
Jabir bin Abd Allah katanya: Kawasan di sekeliling masjid telah lapang,
oleh itu Banu Salamah hendak berpindah ke kawasan yang berhampiran
dengan masjid, maka perkara ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. maka sabdanya: Bahawasanya sampai kepadaku berita bahawa kamu
hendak berpindah ke kawasan yang hampir masjid. Mereka menjawab, “Ya,
wahai Rasulullah, kami hendak demikian”. Jawab Baginda:“Wahai Bani
Salamah! Rumah kamu, (jangan pindah) kesan-kesan tapak kaki kamu (ke
masjid) ditulis, rumah kamu (jangan pindah), kesan-kesan tapak kaki kamu
ke masjid ditulis”.
Hadis
ini menunjukkan kelebihan pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah,
di mana setiap langkah adalah mendapat pahala dari Allah s.w.t.
Ketiga.
Orang
yang keluar dari rumahnya untuk menunaikan sembahyang berjamaah
mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan haji.
Sabda rasulullah s.a.w.
مَنْ
خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ
كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى
لاَ يُنْصِبُهُ إِلاَّ إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ
وَصَلاَةٌ عَلَى أَثَرِ صَلاَةٍ لاَ لَغْوَ بَيْنَهُمَا كِتَابٌ فِى
عِلِّيِّينَ. (سنن أبى داود، الصلاة)
Bermaksud: Siapa
yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada
sembahyang fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram
dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka
pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu sembahyang
selepas satu sembahyang, tiada melakukan perkara sia-sia di antara
kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang
tinggi.
Keempat.
Orang yang sembahyang berjamaah Allah ampunkan dosanya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَع
الْجَمَاعَةِ أَوْ فِى الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ. )صحيح مسلم، الطهارة)
Bermaksud: Sesiapa
yang berwuduk untuk mengerjakan sembahyang lalu dia berwuduk dengan
sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk sembahyang fardhu kemudian
dia pun bersembahyang berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau
dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.
Maksud dosa-dosa di sini adalah dosa kecil kerana dosa besar memerlukan kepada taubat atau keampunan dari Allah.
Kelima.
Orang yang sentiasa sembahyang berjamaah di masjid mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. pada Hari Kiamat.
سَبْعَةٌ
يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ
الإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ
قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِى الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللَّهِ
اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ
ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّى أَخَافُ اللَّهَ. وَرَجُلٌ
تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ،
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ. (صحيح لبخاري،
الأذان)
Bermaksud: Tujuh
golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang
tiada perlindungan kecuali dari-Nya, iaitu imam yang adil, pemuda yang
hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa
ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah,
berhimpun kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, seorang lelaki yang diajak
oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk
melakukan maksiat) lalu dia berkata: “Aku takutkan Allah”, seorang yang
bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya
apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati
Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.
Orang
yang hatinya sentiasa teringat kepada masjid ialah orang yang
menunaikan sembahyang berjemaah setiap waktu. Apabila dia keluar dari
masjid hatinya sentiasa ingat akan datang semula ke masjid untuk
menunaikan jemaah fardhu yang berikutnya. Orang ini akan mendapat
perlindungan dari Allah di akhirat nanti di mana di waktu itu tiada
perlindungan kecuali hanya perlindungan dari-Nya sahaja. Ini merupakan
kelebihan yang amat besar kepada orang yang sentisa mengerjakan
sembahyang fardhu dengan berjemaah di masjid.
Keenam.
Orang yang sembahyang berjamaah di masjid Allah sediakan baginya hidangan di syurga setiap kali dia pergi dan balik.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ. (صحيح البخارى، الأذان)
Bermaksud: Sesiapa
yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya
hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.
Ketujuh.
Allah memberi jaminan syurga kepada orang yang pergi sembahyang berjamaah di masjid.
ثَلاَثَةٌ
كُلُّهُمْ ضَامِنٌ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ رَجُلٌ خَرَجَ غَازِيًا
فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ ضَامِنٌ عَلَى اللَّهِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُ
فَيُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ أَوْ يَرُدَّهُ بِمَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ
وَغَنِيمَةٍ وَرَجُلٌ رَاحَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَهُوَ ضَامِنٌ عَلَى
اللَّهِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُ فَيُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ أَوْ يَرُدَّهُ بِمَا
نَالَ مِنْ أَجْرٍ وَغَنِيمَةٍ وَرَجُلٌ دَخَلَ بَيْتَهُ بِسَلاَمٍ فَهُوَ
ضَامِنٌ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. (سنن أبى داود، الجهاد)
Bermaksud: Tiga
golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang
pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia
masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta
rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga
Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah
mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang
masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.
Di
antara apa yang terkandung dalam hadith di atas ialah jaminan daripada
Allah s.w.t bahawa orang yang pergi ke masjid untuk sembahyang berjamaah
dia dimasukkan ke dalam syurga-Nya.
Kelapan.
Orang yang pergi ke masjid di waktu yang gelap dia mendapat cahaya yang sepenuhnya pada Hari kiamat.
Sabdanya Rasulullah s.a.w. :
لِيَبْشَرِ الْمَشَّاءُونَ فِى الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِنُورٍ تَامٍّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (سنن ابن ماجه، المساجد والجماعات)
Bermaksud: Hendaklah
bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid
mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada Hari Kiamat.
Dalam
hadis ini Rasulullah s.a.w. menerangkan kelebihan orang yang berjalan
kaki di waktu gelap menuju ke masjid. Mereka ini akan mendapat cahaya
yang amat terang pada hari Kiamat.
Kesembilan
Allah amat gembira kepada orang yang bersedia hendak pergi ke masjid menunaikan sembahyang dan zikir.
مَا
تَوَطَّنَ رَجُلٌ مُسْلِمٌ الْمَسَاجِدَ لِلصَّلاَةِ وَالذِّكْرِ إِلاَّ
تَبَشْبَشَ اللَّهُ لَهُ كَمَا يَتَبَشْبَشُ أَهْلُ الْغَائِبِ
بِغَائِبِهِمْ إِذَا قَدِمَ عَلَيْهِمْ. (سنن ابن ماجه، المساجد والجماعات)
Bermaksud: Seseorang
lelaki muslim yang bersedia ke masjid untuk bersembahyang dan berzikir,
Allah gembira kepadanya sebagaimana keluarga orang yang pergi, gembira
apabila orang yang pergi itu balik kepada mereka.
Hadis ini menunjukkan bahawa Allah amat gembira kepada orang yang pergi ke masjid.
Kesepuluh.
Orang
yang sembahyang Subuh berjamaah seolah-olahnya dia sembahyang sunat
seluruh malam dan orang yang sembahyang Isyak berjamaah seolah-olahnya
dia menghidupkan separuh malam.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَنْ
صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ
وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ
كُلَّهُ
صحيح مسلم)
Bermaksud: Sesiapa
yang sembahyang Isyak pada satu jamaah seolah-olahnya dia
sembahyang separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang Subuh pada satu
jamaah seolah-olahnya dia sembahyang seluruh malam.
Kesebelas.
Pergi masjid awal dan mendapat saf pertama adalah mempunyai kelebihan yang amat besar.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
لَوْ
يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِى النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ
يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا، وَلَوْ
يَعْلَمُونَ مَا فِى التَّهْجِيرِ لاَسْتَبَقُوا إِلَيْهِ، وَلَوْ
يَعْلَمُونَ مَا فِى الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا.
(صحيح البخارى، الأذان)
Bermaksud: Kalaulah
manusia mengetahui apa yang terdapat dalam seruan azan dan saf yang
pertama, kemudian mereka tidak mendapatinya kecuali dengan cara undian
nescaya mereka akan melakukannya. Kalau manusia mengetahui kelebihan
pergi awal untuk menunaikan sembahyang nescaya mereka akan bersegera,
dan sekiranya manusia mengetahui apa yang ada pada sembahyang isyak dan
subuh berjemaah nescaya mereka akan menghadirinya walau dengan mengisut.
Di antara kandungan nas di atas adalah menunjukkan kepada kelebihan yang ada pada azan, saf pertama dan datang awal ke masjid.
Kedua belas
Jamaah sembahyang fardu yang lebih ramai adalah yang lebih disukai Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
عَنْ
أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه
وسلم - يَوْمًا الصُّبْحَ فَقَالَ «أَشَاهِدٌ فُلاَنٌ». قَالُوا لاَ. قَالَ
«أَشَاهِدٌ فُلاَنٌ». قَالُوا لاَ. قَالَ «إِنَّ هَاتَيْنِ الصَّلاَتَيْنِ
أَثْقَلُ الصَّلَوَاتِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا
فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الرُّكَبِ وَإِنَّ
الصَّفَّ الأَوَّلَ عَلَى مِثْلِ صَفِّ الْمَلاَئِكَةِ وَلَوْ عَلِمْتُمْ
مَا فَضِيلَتُهُ لاَبْتَدَرْتُمُوهُ وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ
الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ
أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى
اللَّهِ تَعَالَى». (سنن أبى داود، الصلاة)
Bermaksud: Daripada
Aubay bin Ka`b katanya: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersembahyang
Subuh bersama-sama kita, lalu sabdanya: Adakah si pulan hadir? Para
sahabat menjawab tidak. Tanya Baginda lagi, Adakah si pulan hadir? Para
sahabat menjawab tidak. Sabda Baginda: Bahawasanya dua sembahyang ini
adalah sembahyang yang paling berat ke atas orang munafikin. Jikalau
kamu mengetahui apa yang ada pada kedua-duaya nescaya kamu akan datang
menunaikan kedua-duanya walau dengan mengisut. Bahawasanya saf yang
pertama adalah menyerupai saf malaikat, dan jikalau kamu mengetahui apa
kelebihannya nescaya kamu bersegera kepadanya. Dan bahawasanya
sembahyang seorang bersama dengan seorang lain lebih baik dari
sembahyangnya seorang diri, dan bersembahyangnya bersama dengan dua
orang lain lebih baik dari bersembahyang dengan seorang lelaki, dan yang
banyak maka lebih disukai oleh Allah s.w.t.
Di
antara apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith di atas
ialah Allah lebih suka kepada jamaah sembahyang yang lebih ramai.
Ketiga belas
Orang yang menunggu di tempat sembahyangnya bagi menunaikan sembahyang berjamaah adalah dikira sebagai mengerjakan sembahyang.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
لاَ
يَزَالُ الْعَبْدُ فِى صَلاَةٍ مَا كَانَ فِى مُصَلاَّهُ يَنْتَظِرُ
الصَّلاَةَ وَتَقُولُ الْمَلاَئِكَةُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ
ارْحَمْهُ. حَتَّى يَنْصَرِفَ أَوْ يُحْدِثَ ». قُلْتُ مَا يُحْدِثُ قَالَ
يَفْسُو أَوْ يَضْرِطُ. (صحيح مسلم، المساجد )
Bermaksud: Seseorang
hamba Allah itu dikira dalam sembahyang selama dia berada di tempat
sembahyangnya kerana menunggu sembahyang, dan berkata Malaikat: “Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas”.
Hadith
di atas menunjukkan bahawa seseorang yang duduk di tempat sembahyangnya
bagi menunggu sembahyang fardhu dia dikira mengerjakan sembahyang, di
samping para malaikat berdoa untuknya.
Apabila telah
jelas bagi kita kelebihan sembahyang berjamaah yang begitu besar maka
janganlah kita lengah-lengah lagi dari menunaikan sembahyang berjamaah
di masjid atau di surau, iaitu tempat yang dibangunkan untuk beribadah
kepada Allah, dilaungkan azan bagi sembahyang fardu lima waktu dan
seterusnya didirikan sembahyang fardu lima waktu padanya.
sumber dari:http://alistiqamahsgmerab.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment