Firman
Allah swt: Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah
orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga firdaus;
mereka kekal di dalamnya. (Al-Mu'minun 9,10,11)
1. Solat itu tiang Agama. Penghulu segala amal yang lain. Syarat sah untuk diterima yang lain. Yang pertama akan dihisab. Tidak ada alasan bagi sesiapapun untuk meninggalkannya. Jika sakit tak mampu menunaikan dengan berdiri, boleh ditunaikan dengan duduk. Tak dapat duduk boleh secara berbaring. Tak dapat juga dengan berbaring boleh dengan isyarat. Tak ada air boleh tayammum. Terlupa habis waktu, wajib ganti. Jika musafir, boleh dijama’ (dihimpunkan). Pendek kata ibadah solat mestilah ditunaikan dalam keadaan apapun juga dan dimanapun kita berada.
2. Sesungguhnya perbuatan meninggalkan solat ini merupakan kes jenayah yang paling berat, kerana ia tonggak segala urusan agama ini. Kerana ia hubungan dari seorang hamba dengan Allah. Baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat, kefahaman dan lalu penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji. Hal ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam tiap individu. Firman Allah swt:
Sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan
sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan
kesannya). (Al-'Ankabuut 45)
Sabda
Nabi saw: Tonggak urusan (agama) adalah Islam, dan tiang utamanya adalah
solat. (Sunan at-Tirmidzi no. 2559. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis
Hasan Sahih)
3. Solat adalah ibadat yang sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw
lagi. Dalam Al-Quran diceritakan yang Nabi Ibrahim as berdoa kepada
Allah untuk dirinya dan zuriatnya agar mendirikan solat sebagaimana
Firman Allah swt:
Wahai
Tuhanku! jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah
juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa
permohonanku. (Ibrahim 40)
4.
Demikianlah perintah solat merupakan suatu perkara yang telah diwajibkan
telah berkurun lamanya. Merupakan syiar seorang hamba yang patuh dan
tanggungjawab penting yang telah diwajibkan juga kepada seorang Rasul
pilihan Allah. Hinggalah kepada kita sampai hari ini.
5.
Sama-sama kita melaksanakannya dengan penuh kesempurnaan, ingatkan diri,
keluarga, sanak saudara, teman-teman akan betapa pentingnya solat.
Sentiasa berdoa memohon hidayah dan rahmat-Nya. Sama-sama kita pelihara
sebaiknya solat kita, hanya 5 kali sehari. Masukkan dan jadikan dalam
rutin kerja yang memang wajib bagi diri kita. Ada waktu yang khusus
untuk solat dengan sempurna. Usaha jangan biar jadi hal yang
membebankan. Firman Allah swt:
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. (At-Tahrim 6). Inilah kejayaan yang kita inginkan, dunia dan akhirat yang berkekalan kelak.
6. Dalam keadaan macam mana sekalipun, peliharalah
sungguh-sungguh hal solat ini. Saat terlalu lemah dan malas sangatpun,
tak mampu yang lain, jangan dibiar terabai solat kita.
7. Solat Berjemaah adalah lebih afdal kepada lelaki kerana dengan berjemaah mereka yang mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjamaah mendapat kelebihan yang amat besar.
Ingat lah wahai teman, masanya belum pernah terlambat. Setiap manusia ada masa susah, sedih, geram, tertekan, gelisah, cemburu, marah, dengki, dendam dan memberontak. Bersolat lah solat sunat 2 rakaat, insyallah Allah akan bantu kita dengan syarat kita benar-benar yakin dengan Allah. Insyallah.
0 comments:
Post a Comment